Minyak sapi jenama QBB Pure Ghee tidak halal
2010/09/04
KUALA LUMPUR: Pengguna beragama Islam diingatkan supaya tidak membeli dan menghentikan pengambilan minyak sapi jenama QBB Pure Ghee yang sudah ditarik balik status halalnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 19 Ogos lalu kerana didapati mengandungi elemen yang meragukan.
Meskipun arahan untuk menarik balik barangan ini dari pasaran sudah dikeluarkan, namun berikutan permintaan tinggi bahan itu ketika Ramadan terutama menjelang sambutan Aidilfitri, pengguna dinasihatkan supaya memilih produk yang diyakini halal sebagai alternatif.
Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, juga menggesa syarikat pengeluar produk berkenaan, QBI Packaging Sdn Bhd menarik balik semua produk itu dalam pasaran kerana ia boleh mengelirukan pengguna Islam kerana tanda halal masih ada pada produk itu walaupun sudah ditarik balik oleh JAKIM.
Kami menerima banyak aduan daripada pengguna bahawa produk itu masih di pasaran dan ramai yang keliru sama ada ia halal atau pun sebaliknya kerana masih ada logo halal JAKIM tertera pada produk berkenaan, katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berharap JAKIM dapat melakukan pemantauan rapi manakala syarikat terbabit dapat memberikan kerjasama dalam memastikan semua produk ditarik balik dari pasaran.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan meminta supaya Kementerian Kesihatan memantau dan menetapkan prosedur yang lebih ketat dan jelas kepada pengusaha pusat dialisis bagi memastikan ia terus diyakini.
Ini berikutan dakwaan seorang pesakit buah pinggang, Osman Mohamad, 53, dari Sabak Bernam yang kini menderita kesan jangkitan kuman didakwa berpunca daripada pengendalian pusat dialisis yang tidak sempurna.